Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang penjawat awam disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan membantu melantik sebuah perniagaan mendapatkan beberapa perolehan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sebuah jabatan penyiaran negara.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang penjawat awam disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan membantu melantik sebuah perniagaan mendapatkan beberapa perolehan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sebuah jabatan penyiaran negara.

Menurut sumber, suspek iaitu seorang lelaki berusia sekitar 40-an ditahan kira-kira 3 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam dan perintah reman selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November ini terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2023 dan telah menerima rasuah bernilai kira-kira RM18,000 melalui kemasukan wang ke akaun bank miliknya.

“Siasatan awal turut mendapati suspek menerima rasuah  sebagai balasan untuk mendapatkan perolehan perkhidmatan seperi sewaan lori, percetakan bahan promosi, sewaan LED, penyediaan makan dan minum yang melibatkan penganjuran program pada tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast