GEORGE TOWN – Kerajaan akan merangka satu akta baharu yang bertujuan mengawal pemberian pinjaman oleh institusi bukan bank.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, akta tersebut penting susulan semua sistem kewangan yang ada dalam negara ketika ini di bawah seliaan Bank Negara.
Jelasnya, ia juga akan mengawal pemberian pinjaman, sistem beli sekarang bayar kemudian dan sebagainya oleh institusi bukan bank.
“Dalam sistem kewangan sedia ada, kita ada pengawal selia seperti Bank Negara untuk institusi perbankan dan Suruhanjaya Sekuriti untuk pasaran modal namun bagi institusi bukan bank, tiada badan khusus yang mengawal aktiviti pinjaman mereka.
“Akta itu juga dijangka akan memudahkan kerajaan dan Bank Negara mengenalpasti sebarang isu yang timbul daripada pinjaman yang dibuat oleh pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri m majlis Market Outlook Propelling Malaysia Forward Penang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Amir Hamzah memaklumkan Malaysia mengambil pendekatan tunggu dan lihat dasar kerajaan baharu Amerika Syarikat susulan Kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
“Donald Trump akan mengambil alih jawatan Presiden tahun hadapan dan sehingga tempoh itu, Malaysia akan melihat dasar baharu yang mereka perkenalkan terlebih dahulu.
“Kita berharap dasar-dasar baharu yang diperkenalkan akan turut membawa manfaat kepada Malaysia, malah sebagai ekonomi berdefisit, kita perlu bijak dalam menyusun strategi menghadapi perubahan polisi global,” katanya ketika diminta mengulas berhubung Pentadbiran baharu Donald Trump akan memberi kesan kepada Malaysia.
















