KOTA KINABALU – Institut Confucius UMS (CI UMS) melaksanakan program bahasa asing khususnya bahasa Mandarin bagi melatih para peserta kursus untuk menguasai bahasa tersebut dengan baik.
Kursus ini dibuka kepada pelajar dan orang luar ini tidak hanya mempelajari aspek bahasa, juga pengenalan kepada budaya masyarakat Cina dengan tempoh kursus selama 12 minggu.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, penguasaan bahasa asing ini penting bagi memudahkan urusan profesional mahupun komunikasi seharian.
Kursus ini sebelum ini turut melibatkan penyertaan kakitangan dari agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen yang mengawal pintu masuk negeri Sabah.
“Saya percaya ini mampu memberi satu kelebihan kepada petugas barisan hadapan seperti pegawai imigresen dan kastam untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan khususnya dengan pelancong asing dari China,” katanya selepas menyempurnakan penyampaian Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin 2024 di Galeri Majlis UMS.
Pada majlis tersebut, seramai 53 orang peserta berjaya menamatkan kursus, yang terdiri daripada kakitangan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Syarikat SBH Kibing Solar, pelajar dan pensyarah UMS. – MalaysiaGazette















