JIM berkas 19 warga asing kerana tidak mempunyai permit kerja dan salah guna PLKS dalam satu operasi di Muar pada Jumaat lalu

MUAR – Seramai 19 warga asing dicekup di daerah ini Jumaat lalu kerana bekerja tanpa permit yang sah, tinggal lebih masa di Malaysia dan menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Mereka yang terdiri daripada 16 lelaki dan tiga wanita warga asing itu ditahan dalam satu operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Operasi itu dijayakan Unit Penguatkuasa JIM Cawangan Muar dengan kekuatan seramai 15 pegawai.

Menurut Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, operasi dilakukan selepas menerima aduan awam berhubung warga asing yang melakukan tiga kesalahan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati warganegara asing ini memasuki Malaysia menggunakan PLKS namun mereka menyalahgunakan pas tersebut untuk bekerja di tempat lain.

“Kesemua warga asing yang ditahan adalah lima lelaki dan seorang wanita Bangladesh, 10 lelaki dan seorang wanita Myanmar, seorang lelaki warga India serta seorang wanita Indonesia.

“Mereka yang ditahan berusia antara 23 tahun hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Katanya, mereka turut disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Tambah Mohd Rusdi, JIM Johor kini giat memperkasa penguatkuasaan di seluruh daerah di Johor terutama di lokasi hotspot.

Pihaknya akan terus memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) serta majikan yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan Imigresen.

JIM katanya, turut menyeru kepada PATI yang layak untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang berkuatkuasa mulai 1 Mac hingga 31 Disember ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast