Lim Lip Eng
Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen blok kerajaan mahu kerajaan mempertimbangkan semula niat untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

Lim Lip Eng (PH-Kepong) berkata, langkah itu perlu kerana kerajaan perlu fokus pada strategi lebih berkesan untuk melindungi masyarakat daripada kandungan dalam talian yang berbahaya tanpa menjejaskan kebebasan bersuara.

“Kita perlu mencapai keseimbangan yang tepat antara kebebasan bersuara dan keselamatan dalam talian. Pindaan ini seperti yang dicadangkan, tidak mencapai keseimbangan tersebut dan boleh membawa kepada penindasan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam perbahasan perbentangan RUU Komunikasi dan Multimedia (pindaan 20024) di Dewan Rakyat hari ini.

Awal hari ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tujuan utama kerajaan ingin meminda Akta 588 adalah bagi menyediakan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutamanya kanak-kanak.

Pindaan itu juga bagi memastikan negara ini bebas daripada ancaman siber seperti pedofilia, pornografi kanak-kanak, penyantunan seksual, penipuan dalam talian, buli siber, judi dalam talian dan sebagainya.

Dalam pada itu, Lip Eng berkata, pindaan terutama dalam Seksyen 233 akan menyebabkan kecelaruan dan berpotensi untuk disalahgunakan oleh kerajaan sendiri jika tidak dikaji semula.

Jelasnya, definisi-definisi yang kabur dalam pindaan itu seperti ‘lucah’, ‘sumbang’, ‘palsu’, ‘mengancam’ dan ‘jelik melampau’ akan membuka pintu kepada penafsiran subjektif dan penyalahgunaan kuasa.

“Sebagai contoh, apakah batasan ‘jelik melampau’? Apakah kritikan terhadap dasar kerajaan yang dianggap ‘mengancam’? Ketiadaan definisi yang jelas dan objektif boleh menyebabkan individu dihukum kerana menyatakan pendapat atau pandangan yang berbeza tanpa ada definisi yang jelas dan objektif.

“Tafsiran kerajaan sekarang dan kerajaan seterusnya tentang maksud ‘jelik melampau’ mungkin jauh berbeza!,” tegasnya.

Lip Eng turut berkata, pindaan itu memberi kuasa yang lebih besar kepada kerajaan untuk menyekat dan mengawal kandungan dalam talian dan boleh digunakan untuk menyekat sebarang kritikan terhadap kerajaan seperti yang berlaku dalam kes-kes aktivis dan blogger yang dihukum di bawah Seksyen 233 sebelum ini.

“Tambahan pula, pindaan ini boleh menakutkan media bebas dan menghalang mereka daripada melaporkan berita dan isu-isu sensitif secara bebas.

“Sebagai contoh, wartawan yang melaporkan tentang rasuah atau salah laku kerajaan mungkin akan berfikir dua kali sebelum menerbitkan laporan mereka kerana takut dihukum di bawah pindaan yang baru,” katanya lagi.

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, Fasal 91(c) mencadangkan memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 233 akta itu yang memperuntuk hukuman berbeza dan lebih tinggi jika kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang mentafsirkan kesalahan yang dilakukan sebagai kesalahan boleh tangkap.

Subseksyen baharu itu juga turut memperuntukkan pesalah boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Fasal 91(a)(i) pula mencadangkan penggantian perkataan ‘jelik’ dengan perkataan ‘jelik melampau’ pada Seksyen 233 (1), manakala Fasal 91(a)(ii) bertujuan untuk memasukkan unsur kesalahan yang baharu dalam subseksyen sama berhubung dengan perlakuan apa-apa fraud dan kecurangan kepada mana-mana orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast