Antara kotak bekalan harian dan makanan yang diedarkan kepada mangsa banjir. Foto TH

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) dan syarikat kumpulannya menyalurkan pelbagai bantuan bencana kepada lebih 50,000 mangsa terjejas banjir di seluruh negara.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) itu mengagihkan kotak makanan berisi makanan kepada semua mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan petugas barisan hadapan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, program bantuan  penting bagi membantu mangsa bencana alam di seluruh negara termasuklah bencana banjir.

“TH amat prihatin dan terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur yang mana turut mengakibatkan beberapa pejabat cawangan di negeri terlibat ditangguhkan operasi sementara.

“Susulan itu, TH bersolidariti bersama komuniti yang terkesan dan hadir menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sukarelawan dan anggota TH mengedarkan bantuan bekalan harian dan pek makanan kepada mangsa banjir. Foto TH

Tambah Syed Hamadah, sumbangan sebanyak RM500,000 diserahkan kepada YFBM yang bertindak sebagai pengelola bantuan dengan menyediakan 10,000 kotak makanan mengandungi nasi segera, lauk segera, makanan kering dan air mineral.

Kesemua kotak makanan itu akan diagihkan secara berperingkat di PPS melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah dalam masa terdekat.

“Sebagai tanda solidariti juga, usaha ini turut disahut Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang menganjurkan Program Prihatin Banjir dengan menawarkan penangguhan ansuran pembiayaan rumah, peribadi dan kenderaan selama enam bulan.

“Selain itu, Kemudahan Bantuan Bencana khusus buat perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang menyediakan pembiayaan modal kerja serta membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang rosak,” jelasnya. 

Pek makanan diserahkan kepada mangsa banjir di PPS. Foto TH

Syed Hamadah menambah, BIMB juga memperuntukkan bantuan sokongan kewangan berjumlah RM250,000 dan melancarkan Tabung Bantuan Banjir bagi membantu kakitangan yang terkesan.

“Kami telah mengenal pasti beberapa anggota TH yang terkesan dengan musibah banjir ini bagi menyalurkan bantuan dan membantu sedikit sebanyak bukan sahaja untuk meringankan tekanan malah memulihkan harapan mereka untuk terus bersemangat dan bangkit menghadapi ujian ini.

“Pada masa sama, Syarikat Takaful Malaysia Berhad turut  memberikan sumbangan bantuan kewangan serta bantuan proses tuntutan insurans segera untuk kenderaan mahupun kesihatan bagi mangsa yang terkesan dengan musibah ini.

“Sukarelawan dalam kalangan kakitangan turut dikerahkan bagi usaha bantuan banjir dan pasca banjir. TH Properties Sdn. Bhd. juga menyumbang bantuan bekalan asas harian kepada mangsa banjir dengan nilai keseluruhan RM10,000,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast