Alexander (depan) merasmikan Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan penilaian bagi kerja-kerja membaik pulih jalan dan cerun rosak di seluruh negara yang terjejas akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL), baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat semalam keseluruhan kos pembaikan yang dikenal pasti berjumlah RM312.1 juta.

“Bagi jalan Persekutuan kita memerlukan kos pembaikan berjumlah RM247 juta diikuti cerun jalan Persekutuan (RM40.3 juta) manakala bagi jalan negeri pula (RM24.8 juta).

“Kos ini semua membabitkan jalan yang terjejas akibat gelombang pertama banjir baru-baru ini dan kita akan muktamadkan secara keseluruhan apabila MTL berakhir nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2024 di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.

Alexander.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.

Mengulas lanjut Alexander berkata, kementerian bersedia menghadapi gelombang kedua banjir yang melanda negara.

“Saya sendiri mengambil peluang dan turun padang untuk meninjau kawasan yang terkesan di Kelantan dan Terengganu.

“Kementerian bersama syarikat konsesi turut lancarkan program bagi membantu mangsa-mangsa banjir malah bilik gerakan bencana turut diaktifkan bagi membolehkan kita bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Berdasarkan pengalaman mengurus bencana semasa gelombang pertama, kita lebih bersedia kali ini,” katanya.

Sementara itu, bersempena HPTN 2024, beliau berkata, Belanjawan 2025 yang berjumlah RM423 bilion telah memperuntukkan sebanyak RM88 billion termasuk RM2 bilion dana kontingensi atau 20 peratus untuk tujuan belanja pembangunan.

“Sebahagian besar daripada jumlah tersebut, adalah untuk pembangunan infrastruktur dan prasarana negara yang memerlukan penglibatan dan sumbangan signifikan para profesion teknikal negara.

“Kepakaran profesion teknikal untuk menganalisis, menyelesaikan masalah dan menyediakan khidmat nasihat yang profesional sangat penting untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast