Zahnita Wilson kembali tersenyum apabila mendapat kembali dua anak perempuannya pada semalam selepas mendapat hak jagaan sementara daripada Mahkamah Tinggi Syariah Pahang

KUANTAN – Bekas pelakon dan model, Zahnita Wilson terpaksa menjalani ujian air kencing sebelum berjaya mendapatkan hak jagaan dua anak perempuannya semalam.

Wanita berusia 39 tahun itu mengakui berdepan detik mencemaskan ketika diminta untuk melakukan ujian berkenaan susulan ada dakwaan mengatakannya terlibat menggunakan bahan terlarang.

Bagaimanapun Zahnita akur melalui prosedur itu demi membolehkan mendapat hak jagaan anak perempuannya, Zasharayna Ghouse, 12, dan Zahlia Syaw, 7, selepas dibenarkan mahkamah dan membuat permohonan bantuan polis pengiring di Ibupejabat Polis Daerah Kuantan.

”Alhamdulillah, Allah Maha Besar, keputusan urin negatif, saya dapat hak jagaan terhadap dua anak perempuan semalam.

Seorang lagi yang sulung masih dengan ayahnya dan masih menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

”Walaupun pada mula proses untuk mendapatkan pengiring polis menghadapi sedikit cabaran namun alhamdulillah selesai kira-kira pukul 8 malam tadi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau sanggup mengharungi apa sahaja demi mendapat hak jagaan anak termasuk bekerja keras demi menyara keempat-empat anaknya.

Malah, katanya, keputusan urin negatif itu sekali gus melengkapkan kebenaran kepadanya sebagai ibu untuk menjaga dan melindungi anaknya daripada sebarang bentuk kekerasan.

”Tidak faham kenapa perlu proses urin perlu dilakukan tetapi saya akur dan beri kerjasama kerana tiada apa yang perlu disembunyikan. Bila negatif barulah mereka (polis)  beri kerjasama.

”Tetapi terima kasih kepada Ketua Balai Polis Indera Mahkota 8 dan pasukan pengiring membantu mengiringi ketika proses mengambil anak,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Pahang membenarkan hak jagaan sementara exparte diberikan kepada Zahnita atau nama sebenarnya, Zahnita Dorothy Hussien Wilson selepas beliau memohon kepada mahkamah mendapatkan jagaan anak-anaknya.

Perintah tersebut membenarkan responden iaitu bapa diberikan hak untuk melawat bersama anak-anak tersebut dengan pengawasan pemohon atau ahli keluarga pemohon secara bersama di tempat terbuka seperti taman permainan atau taman rekreasi atau di mana-mana kawasan yang bersesuaian dengan pemohon atau ahli keluarga.

Responden juga diberikan  dua kali sebulan sama ada pada hari Sabtu atau Ahad bermula pukul 4 hingga 6 petang pada hari yang sama dengan makluman secara bertulis sebelum 48 jam lawatan.

Difahamkan kes sebutan semua hak hadanah interim ditetapkan pada 3 Januari 2025.

Zahnita turut berterima kasih atas sokongan daripada semua pihak terhadapnya dan yang mendoakannya bangkit kembali meneruskan kehidupan daripada kemelut rumahtangganya.

Terdahulu suaminya Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan penjara selama tempoh sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Zahnita lega mahkamah keluar perintah perlindungan jarak 50 meter

Tiada masa bersedih, saya kena kuat semangat, kena kembali bekerja – Zahnita Wilson

Zahnita dapat hak hadanah interim 4 anak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast