Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 292,254 kandungan telah diturunkan oleh pengendali platform media sosial hasil termasuk hasil pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) antara tempoh 2022 hingga 1 Disember lalu.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 87.9 peratus atau 256,868 melibatkan kandungan di platform Facebook manakala 22,702 (7.77 peratus) membabitkan platfrom TikTok.

Jelas beliau, kandungan berunsur perjudian merupakan kandungan terbanyak yang diturunkan iaitu 63.59 peratus atau 185,858 diikuti kandungan berunsur penipuan atau scam, termasuk akaun palsu dan penyamaran iaitu 62,833 (21.5 peratus) serta 1,947 (0.67 peratus) kandungan berunsur lucah

“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 8,908 kandungan berunsur jelik yang berkaitan buli atau gangguan telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan media sosial.

“Tindakan ini diambil hasil pemantauan proaktif SKMM di dalam talian dan aduan pihak berkuasa serta orang awam,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Gobind berkata, SKMM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet juga telah menyekat sebanyak 4,891 laman sesawang judi sepanjang 2022 hingga 1 Disember lalu.

Ujar beliau, bagi tahun ini sahaja setakat 1 Disember lalu, penyedia perkhidmatan Internet telah menurunkan sebanyak 167,042 kandungan perjudian di platform media sosial.

Ia jelas beliau, merupakan peningkatan besar berbanding hanya 18,814 kandungan perjudian di platform media sosial yang diturunkan tahun lalu serta hanya dua kandungan yang diturunkan pada 2022.

Bagaimanapun, ujar Gobind, kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk menyekat aplikasi TikTok atau mana-mana platform media sosial yang beroperasi di negara ini.

Ini kerana, menurut beliau, terdapat banyak kandungan yang bermanfaat di platform media sosial yang membawa mesej positif seperti pendidikan, kekeluargaan, kesihatan, keagamaan, dan kemanusiaan.

“Sebagai contoh, media sosial merupakan platform utama yang digunakan para pempengaruh untuk menyebarkan maklumat dan menyelaras operasi membantu mangsa banjir semasa musibah banjir besar yang melanda negeri-negeri baru-baru ini.

“Namun tidak dinafikan terdapat kandungan yang negatif dan memudaratkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast