Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad

KUANTAN – Sebanyak 18,439 pemeriksaan telah dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke atas bangunan-bangunan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad negeri Sarawak mencatatkan pemeriksaan bangunan tertinggi iaitu sebanyak 3,407 buah.

Beliau berkata, sebanyak 1,136 pemeriksaan pula telah dijalankan ke atas bangunan-bangunan di seluruh negeri Pahang bagi tahun ini.

“Kita juga telah mengeluarkan sebanyak 9,510 notis penghapusan bahaya kebakaran kepada 1,260 bangunan iaitu 13 peratus daripada bangunan yang diperiksa.

“Di Pahang pula, daripada pemeriksaan tersebut, kita telah keluarkan sebanyak 532 notis kesalahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pasukan Keselamatan Kebakaran Istana (PKKI) di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota hari ini.

Katanya, daripada jumlah 9,510 notis yang dikeluarkan itu, hanya 94 notis yang tidak dipatuhi dan akan dibawa untuk pendakwaan ke mahkamah.

Jelas Nor Hisham, antara notis kesalahan yang direkodkan meliputi tiada tanda ‘keluar’, tiada lampu kecemasan dan menukar pintu rintangan api yang dipasang pada bangunan tangga tunggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast