KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan rugi lebih RM30,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan palsu dalam talian.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa mula terjebak dengan sindiket berkenaan selepas berkenalan dengan seorang perempuan warga asing yang dikenali Lily dalam laman sosial Facebook.

“Suspek meminta mangsa menggantikan tempatnya sebagai pekerja sambilan pada 21 November lalu. Dia juga meminta mangsa menghubungi seorang wanita yang didakwa sebagai ‘cikgu kewangan saham’ untuk membimbingnya dalam pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat termakan dengan kata-kata suspek, mangsa mula membuat enam transaksi ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM34,800 pada 2 Disember hingga 28 Disember lalu.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan perlu membuat bayaran tambahan berjumlah RM14,881 ke dalam akaun bank atas nama Muhammad Haiqal Bee sebagai syarat untuk mengeluarkan wang pelaburannya.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan pulangan keuntungan yang dijanjikan.

“Hasil siasatan awal mendapati, dua daripada enam akaun yang terlibat mempunyai enam laporan polis melibatkan kes penipuan pelaburan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dalam tawaran kerja yang tidak wujud.

Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika berurusan dalam talian bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast