Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya tidak membuat tuduhan semberono dan dangkal berkenaan keputusan ahli-ahli parti itu untuk menyertai perhimpunan aman solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari depan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Labuan itu, keputusan UMNO untuk berhimpun secara aman di Istana Kehakiman, Putrajaya tersebut tidak ada kena-mengena dengan mana-mana parti lain termasuk Pas sebaliknya merupakan tanda sokongan dan setiakawan kepada Najib yang juga bekas presiden parti itu.

Jelas beliau, jasa dan pengorbanan Najib terlalu banyak bukan hanya kepada UMNO tetapi juga agama, bangsa dan negara.

“Kami tahu menilai dan menghargai, maka kami bersolidariti demi perbicaraan yang adil untuk beliau,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Media sebelum ini melaporkan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan membidas UMNO kerana berganding bahu dengan Pas mengadakan perhimpunan solidariti untuk Najib pada minggu depan.

Guan Eng berkata, ia akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan UMNO menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Mohd Rafi turut mengingatkan Guan Eng supaya tidak mencampuri urusan politik UMNO.

“Ini rumah tangga kami maka seeloknya kalian jagalah rumahtangga masing-masing walhal kalian juga berdepan dengan kemelut dalaman yang tidak akan sesekali kami campuri.

“Jangan jadikan kami sebagai kambing hitam untuk kalian cuba mencipta populariti melalui politik murahan,” kataya.

Tegasnya, UMNO merupakan sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah yang tidak akan sesekali mengingkari apa-apa yang termaktub dalam persefahaman, jauh sekali untuk menjadi pengkhianat.

“UMNO juga bukan saudagar politik yang menjadikan kuasa sebagai batu loncatan sebaliknya UMNO adalah parti yang lahir dari rakyat untuk rakyat, sedia berkhidmat dalam aspirasi perjuangan yang tak pernah padam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.