Pemandangan udara keadaan sebuah kampung yang ditenggelami air banjir termenung ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 05 DISEMBER 2024

KOTA BHARU – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini.

JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.

“Jajahan Tumpat dijangka membabitkan lembangan Sungai Golok, lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka manakala jajahan Pasir Mas melibatkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan,” menurut kenyataan itu.

JPS memaklumkan jajahan Kota Bharu membabitkan lembangan Sungai Kelantan, lembangan Sungai Pengkalan Datu dan lembangan Sungai Semerak; lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Semerak (Pasir Puteh); lembangan Sungai Kemasin dan lembangan Sungai Semerak (Bachok) serta lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan (Tanah Merah).

Menurut kenyataan itu, jajahan Kuala Krai akan melibatkan lembangan Sungai Kelantan manakala di Jeli membabitkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.

“JPS akan membuat pemantauan secara berterusan dan akan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai ini.

“Banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh jangkaan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk setempat terutamanya di kawasan berisiko banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” menurut JPS.

Maklumat dan amaran semasa boleh didapati menerusi laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook PublicinfoBanjir. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast