JOHOR BAHRU – Polis menahan sembilan lelaki yang memandu kenderaan bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2025 Kontinjen Johor di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi khas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu bermula pada pukul 11 malam semalam dan berakhir pada 5 pagi hari ini.
“Operasi dilakukan di beberapa lokasi tumpuan sekitar bandar raya ini. Seramai 21 individu lelaki warga tempatan berumur antara 18 hingga 53 tahun ditahan.
“Sembilan tangkapan bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, 11 lagi ditahan atas kesalahan samseng jalanan bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan seorang berkaitan dadah dengan waran tangkap bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, sebanyak 72 kenderaan telah disita dan 451 saman PDRM (K) 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Operasi ini menunjukkan komitmen JSPT Johor dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kejadian tidak diingini pada musim perayaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















