MELAKA – Cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah yang majoritinya diusahakan peniaga bumiputera belum pernah dibincangkan malah memerlukan kajian lanjut supaya tidak merosakkan perniagaan lain.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, walaupun kerajaan sentiasa menyokong usaha untuk mempelbagaikan lagi produk pelancongan negeri, ia perlulah dilakukan secara teliti.

“Memang kita galakkan produk-produk pelancongan baru tapi kena lihat juga kesesuaian kawasan dan kaedahnya jadi saya rasa itu (cadangan Jonker Walk 2.0) akan dibincangkan nanti kerana setakat ini ia belum pernah dibawa (cadangkan) lagi.
“Kalau nak bawa (Jonker Walk) ke tempat baru, perlu mempunyai kajian yang mendalam takut nanti bila kita pindah (buka) tempat baru, peniaga tak ada atau ia akan merosakkan suasana perniagaan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Sempena Ops Perayaan Tahun Baru Cina di Dataran Ayer Keroh di sini malam tadi.
Hadir sama, Pengarah JBPM Melaka, Mohd Pisar Aziz dan timbalannya, R Saiful Iswandy R Hassan.
Semalam, MalaysiaGazatte melaporkan cadangan DAP untuk wujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah selepas kejayaan pasar malam yang turut mendapat jolokan ‘China Town’ di Jalan di Hang Jebat itu sejak 25 tahun mendapat perhatian pelancong dari serata dunia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, kawasan yang mungkin boleh dikenali sebagai Jonker Walk 2.0 itu berpotensi merancakkan lagi ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk sedia.
“Memang kita ada dapat permintaan daripada peniaga-peniaga bazar Ramadan juga kerana tahun ini difahamkan bazar dipindahkan ke Banda Hilir, jadi Jalang Hang Tuah akan sunyi,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata turut mendapat permintaan daripada peniaga-peniaga bazar Ramadan terutama selepas bazar itu dipindahkan ke Banda Hilir tahun ini menyebabkan Jalan Hang Tuah sunyi.
Mengulas lanjut, Rais menegaskan adalah lebih baik pasar malam sedia ada di Jonker Walk pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad itu ditambah baik terlebih dahulu. – MalaysiaGazette
















