Pengunjung mengambil peluang untuk melawat Laman Padi sempena MAHA 2026 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2026.

SERDANG – Kerajaan akan terus memantau peranan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam memastikan keterjaminan bekalan beras negara, termasuk mematuhi perjanjian yang dipersetujui.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Bernas memainkan peranan penting dalam menjaga stok penimbal serta membantu negara mendapatkan bekalan ketika berlaku kekurangan.

Menurut beliau, Bernas turut mempunyai peranan ketika berlaku keadaan kecemasan seperti bencana.

“Peranan Bernas memang memainkan peranan di antara menjaga stok penimbal. Ertinya kalau dalam keadaan tak cukup, masalah akan mengimport dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Laman Padi@Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Peluncuran Laman Padi dan Pengiktirafan The Malaysia Book of Records sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Mohamad juga berkata, Bernas membantu kerajaan ketika berlaku bencana dengan menyalurkan bantuan segera apabila diperlukan.

Jelasnya, kerajaan sentiasa memastikan perjanjian 10 perkara berkaitan Bernas dipatuhi.

“Kerajaan sentiasa di atas perjanjian 10 perkara itu supaya perjanjiannya sentiasa dipatuhi oleh pihak Bernas,” katanya.

Tambahnya, wakil kerajaan turut berada dalam struktur Bernas bagi membolehkan kerajaan memantau perkembangan syarikat berkenaan dari semasa ke semasa.

“Bernas bukan swasta 100 peratus dan kita mempunyai wakil kerajaan dalam Bernas. Jadi sentiasalah kita pantau dari masa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here