Wednesday, September 2, 2026
Home Utama Kerajaan tak kompromi isu keselamatan di sempadan – TPM

Kerajaan tak kompromi isu keselamatan di sempadan – TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga kanan) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (lima kanan) membuat lawatan ketika hadir pada Majlis Peluncuran Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia, di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 02 FEBUARI 2025.

SEPANG – Kerajaan ingin melihat perubahan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di pintu masuk negara menerusip rosedur operasi standard (SOP) yang lebih mudah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan karenah birokrasi boleh diminimumkan dengan tiada lagi fungsi-fungsi yang bertindih antara agensi.

Menurutnya, ia sangat penting agar lapangan terbang dan pintu masuk ke negara kita lebih berdaya saing, memudahkan serta memberikan pengalaman pertama yang mengesankan kepada pelawat yang berkunjung ke Malaysia.

“Bagaimanapun, memudahkan proses tidak bermakna kita berkompromi kepada isu keselamatan. Begitu juga di pelabuhan-pelabuhan seluruh negara, kita perlu memastikan tiada masa menungggu yang lama bagi proses pergerakan kontena-kontena yang keluar dan masuk.

“Ini penting kerana dalam industri logistik terutamanya di pelabuhan, masa adalah bermakna kecekapan yang akan berkait secara langsung dengan kos dan wang. Jadi untuk kekal berdaya saing pelabuhan-pelabuhan kita perlu meningkatkan kapasiti
serta kecekapan.

“Usaha ini akan membantu pelabuhan-pelabuhan negara kekal menjadi tumpuan perdagangan import dan eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Anjung Tinjau, KLIA 1 hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Untuk rekod, AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024 dan diterajui oleh Datuk Seri Hazani Ghazali sebagai Ketua Pengarahnya yang pertama.
Antara yang diserap ke dalam AKPS adalah pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Mengulas lanjut, Fadilah berkata, penubuhan AKPS menandakan komitmen kerajaan yang tidak berbelah bahagi untuk mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lancar dan cekap.

Katanya, agensi ini akan berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi pintu-pintu di seluruh negara, sama ada lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan.

“Era globalisasi yang sedang berada di hadapan kita pada hari ini menuntut semua pihak untuk lebih bersedia dengan keperluan sistem pengurusan sempadan yang lebih mantap dan bersepadu.

:”Pelbagai usaha serta inisiatif telah dirintis oleh kerajaan dalam usaha untuk memastikan Malaysia kekal sebagai negara perdagangan yang berdaya saing dengan penyampaian
perkhidmatan di pintu-pintu masuk negara yang cekap dan berintegriti,” katanya yang memberitahu pembentukan AKPS ditunjangi oleh empat objektif utama.

Fadilah menambah, perkembangan teknologi sentiasa dinamik dan berevolusi, selari dengan kepelbagaian bentuk ancaman kepada keselamatan negara.

Ujar beliau, yang terkini, keperluan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam strategi kawalan sempadan negara yang dilihat sangat kritikal.

“Penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui sistem dan aplikasi yang terkini secara optimum akan membantu para pegawai di pintu masuk
memantau, menilai, merancang dan menguatkuasakan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman dan cabaran yang dihadapi.

“Sebagai contoh, penyelarasan dan analisis data dari kamera litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI akan mempertingkatkan keupayaan para pegawai dalam membangunkan analisis risiko di pintu masuk.

“Pendekatan proaktif ini boleh membantu agensi seperti AKPS dalam memintas potensi ancaman sebelum ia berlaku, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan secara keseluruhan di pintu masuk dan sempadan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast