Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Prestasi ekonomi negara tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata kerana majoriti pelaburannya adalah dalam syarikat tempatan.

Sebaliknya, Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai meminta kerajaan tidak mengabaikan aliran keluar pelabur asing sebanyak RM1.265 billion daripada Bursa Malaysia.

Menurutnya, dalam tempoh dua bulan, lebih RM5.6 bilion dana asing telah keluar dari pasaran saham negara.

“Memang benar, jumlah RM5.6 bilion itu tidak mencapai 10% daripada jumlah keseluruhan dividen KWSP yang berjumlah RM73.24 bilion.

“Namun, pergerakan pasaran saham negara adalah petunjuk utama keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dominic menegaskan, KWSP menggunakan 98.36% daripada jumlah keuntungannya untuk dividen kali ini bukan isu kerana tiada siapa yang akan menolak langkahnya untuk berkongsi keuntungan dengan ahlinya.

Namun, kebanyakan dana awam biasanya hanya memperuntukkan sekitar 80 hingga 90% daripada keuntungannya untuk pembayaran dividen bagi mengelakkan beban kadar faedah yang tinggi pada tahun berikutnya

Oleh itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat realiti ekonomi domestik dengan lebih praktikal.

“Jika mengikut logik Anwar, maka KWSP pada tahun hadapan seharusnya memberikan dividen lebih tinggi daripada 6.3%, kerana pelabur asing diyakini mempunyai kepercayaan terhadap kerangka ekonomi kerajaan perpaduan, dan ekonomi negara dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik tahun ini.

“Jika ekonomi negara berkembang dengan pesat, ahli KWSP pastinya mengharapkan kadar dividen yang lebih tinggi,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu lebih realistik dalam menangani pertumbuhan ekonomi negara, kerana dasar tarif baharu Amerika Syarikat masih berada pada peringkat awal dan kesannya terhadap ekonomi global belum dapat dipastikan.

Pada ketika ini, kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi domestik dan mengekalkan keyakinan pelabur asing supaya
dapat mengekalkan momentum kadar dividen 6.3% ini dan memastikan kadar yang lebih tinggi dapat diberikan pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast