Datuk C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia digesa menyenaraikan semua penerima dana Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, rakyat berhak mengetahui pihak yang menerima dana tersebut serta tujuan dan bagaimana dana itu digunakan.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan juga perlu menjalankan audit menyeluruh ke atas penerima-penerima dana tersebut di negara ini.

“Kita perlu tahu dana ini diberikan kepada siapa, digunakan untuk apa, dan siapa yang mendapat manfaat daripadanya.

“Jika benar niat mereka baik, tidak ada sebab untuk menyembunyikan maklumat ini daripada rakyat Malaysia,” katanya dalam perbahasan titah diraja di Dewan Negara, hari ini.

Pada Januari lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan membekukan sementara dana USAID sementara menunggu semakan dalaman, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai inisiatif di seluruh dunia.

USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia, menggaji kira-kira 10,000 orang dengan dua pertiga dairpadanya berkhidmat di luar AS.

Dana USAID itu sering ditonjolkan kononnya untuk membantu membangunkan demokrasi dan memperkukuh masyarakat sivil di seluruh dunia.

Sementara itu, Sivaraj berkata, isu mengenai dana USAID tersebut dibangkitkan kerana ia berkait dengan campur tangan kuasa asing dalam politik negara.

Ujarnya, di kebanyakan negara lain, dana seperti itu digunakan sebagai alat untuk mengawal politik tempatan, melemahkan kerajaan yang tidak sehaluan dengan kuasa besar, dan akhirnya untuk mencorak masa depan negara mengikut kehendak pemberi dana.

Tambah beliau, dalam situasi Malaysia yang tegas menyuarakan sokongan terhadap Palestin seperti yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat kuasa besar yang sedang memerhati dan mungkin tidak berpuas hati dengan kepimpinan negara.

“Dan kita jangan ingat mereka akan berdiam diri. Mereka akan gunakan dana yang mereka ada untuk menyalurkan wang kepada NGO, parti politik, atau individu tertentu dalam negara ini dengan satu tujuan, untuk mengganggu kestabilan negara, menggugat demokrasi, dan memanipulasi pengundi,” katanya.

Sehubungan itu, ujar Sivaraj, beliau tidak mahu Malaysia turut menjadi seperti negara-negara lain yang sudah hancur akibat permainan pemberi dana tersebut.

Dalam masa sama, katanya, beliau juga tidak mahu demokrasi dan institusi negara menjadi alat atau diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast