Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menggesa audit forensik menyeluruh atau yang sama versinya dalam kes Sapura Energy Berhad (SEB) dijalankan terhadap peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen kerajaan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia susulan kes dakwaan rasuah melibatkan dua bekas pegawai Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ujarnya, ia bagi memastikan Ahli Parlimen lain tidak diperdaya oleh pegawai sendiri dalam kes penyelewengan dana seperti yang diakui Teresa berlaku terhadapnya dalam kes melibatkan pegawainya.

“Jika seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman seperti Teresa Kok sendiri boleh diperdaya, mengikut dakwaan beliau sendiri oleh pegawainya sehingga berlaku penyelewengan dana, apakah jaminan bahawa Ahli Parlimen lain juga tidak mengalami situasi yang sama?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penahanan dua bekas pegawai Teresa yang sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmatnya di Seputeh yang ditahan SPRM.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, meskipun dakwaan Teresa yang mana SPRM boleh membuat siasatan tanpa menunggu aduan rasmi adalah benar, namun dalam kes melibatkan pegawainya, Teresa sepatutnya tampil membuat laporan kepada SPRM sendiri.

Ini kerana, ujar beliau, di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694), mana-mana individu yang mengetahui tentang perlakuan rasuah mempunyai kewajipan untuk melaporkan perkara tersebut kepada SPRM.

“Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan di bawah peruntukan yang sama.

“Maka, kenyataan Teresa Kok bahawa SPRM boleh bertindak tanpa aduan rasmi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab asas sebagai seorang wakil rakyat yang berintegriti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, kes melibatkan pegawai Teresa dijadikan iktibar supaya langkah-langkah kawalan lebih ketat dapat diambil dan tidak hanya bergantung kepada tindakan reaktif selepas penyelewengan berlaku.

Sehubungan itu, ujarnya, jika benar kerajaan mengutamakan ketelusan dan integriti, audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus menjadi keutamaan ketika ini.

Jelasnya, audit forensik itu perlu dilakukan terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan sebagai Menteri memandangkan mereka pastinya sibuk menguruskan tugasan di kementerian masing-masing dan kerap kali keluar negara untuk mencari pelabur serta menjalankan tugas rasmi kerajaan.

“Dengan beban tugas yang tinggi, mereka pastinya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi tumpuan kepada pengurusan peruntukan yang mereka terima sebagai Ahli Parlimen.

“Oleh itu, risiko berlaku ketirisan dan salah guna dana lebih tinggi dalam kalangan mereka, menjadikan audit ini satu keperluan mendesak bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perbelanjaan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast