KUALA LUMPUR – Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah mengecam sekeras-kerasnya pembaziran kerajaan negeri itu yang membelanjakan RM3,965,590 untuk pembelian nombor plat ‘SMJ’.
Jurucakapnya, Alif Danial menyifatkan langkah Kerajaan Negeri Sabah ini dilihat tidak berperikemanusiaan.
Dakwanya, kawasan yang terletak hanya 3 kilometer dari Pusat Pentadbiran Negeri Sabah masih dibelenggu masalah bekalan air yang tidak berkesudahan.
Tetapi Kerajaan Negeri Sabah tergamak berbelanja hampir RM4 juta hanya untuk nombor plat kereta.
Ironinya, kata beliau, Kerajaan Persekutuan membelanjakan sekitar RM5 juta ringgit untuk pembinaan telaga tiub di UMS.
Dakwanya, masalah air membelenggu warga UMS sejak bertahun lamanya, namun pembelian plat SMJ 1-9999 boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Adakah ini ‘Sabah Maju Jaya’ yang dimaksudkan? Kerajaan Negeri Sabah berbelanja mewah, tetapi mahasiswa di universiti menadah air hujan hanya untuk mendapatkan air bersih mereka,” soal beliau.
Aliff menegaskan, ‘Sabah Maju Jaya’ atau ‘SMJ’ hanyalah simbolik politik Kerajaan Negeri Sabah semata-mata, realitinya, derita rakyat Sabah dalam isu masalah asas seperti bekalan air bersih, jalanraya rosak, infra, peluang pekerjaan dan rasuah yang kian membarah.
Kos sebanyak RM3,965,590 itu dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi membeli siri nombor plat SMJ 1 hingga SMJ 9999 yang ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.
Menteri Kewangan Sabah berkata, penggunaan nombor siri SMJ itu bagi memberi identiti, keseragaman dan memudahkan pemantauan terhadap penggunaan kenderaan rasmi kerajaan negeri.
Ia juga mengelakkan kenderaan rasmi disalahguna untuk tujuan lain, selain urusan rasmi kerajaan negeri. – MalaysiaGazette














