BUKIT MERTAJAM – Hasrat seorang pesara kerajaan untuk melipatgandakan wang simpanannya dalam masa singkat bertukar mimpi ngeri apabila dia terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud, mengakibatkan kerugian keseluruhan RM229,800.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, mangsa berusia 62 tahun itu tampil membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu.

Jelas beliau, mangsa mula terjerat apabila menerima panggilan seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Zizah, jam 2.52 petang pada 4 Mac lalu ketika dia berada bersendirian di rumahnya.

“Wanita itu mendakwa akan datang ke rumah mangsa untuk membaiki paip. Bagaimanapun, mangsa menafikan perkara itu sebelum masing-masing mereka meneruskan hubungan menerusi perbualan telefon.

“Sepanjang perkenalan mereka, suspek mengajak mangsa menyertai satu pelaburan yang dikatakan mampu memberikan pulangan lumayan dalam tempoh dua hari.

“Suspek kemudian menghantar satu pautan kepada mangsa untuk memuat turun laman web ‘TIMELESSWORLD.VIP’ sebelum mangsa menunjukkan minat selepas dijanjikan pulangan segera,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah Helmi, mangsa membuat pelaburan kecil dan memperoleh keutungan membuatkan dia percaya pelaburan tersebut sah dan meneruskan tujuh lagi transaksi berjumlah RM229,800 ke dalam lima akaun bank berbeza.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan selain suspek gagal dihubungi sebelum menyedari dirinya ditipu dan tampil membuat laporan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast