KUALA LUMPUR — Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang hari ini membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan terbaharunya mengenai identiti nasional dan etnik.
Kenyataan Muhyiddin bahawa beliau kini tidak lagi mementingkan identiti sebagai “Melayu dahulu” tetapi melihat dirinya sebagai pemimpin untuk semua rakyat Malaysia menarik perhatian Kit Siang.
Kit Siang berkata, sejak bila pemimpin utama pembangkang itu mengubah pendirian beliau terhadap rakyat Malaysia.
“Soalan pertama, bilakah beliau berubah daripada “Melayu dahulu, Malaysia kemudian” kepada “Malaysia dahulu, Melayu kemudian?”
“Soalan kedua, adakah beliau bersedia untuk memimpin satu kempen yang menggesa semua rakyat Malaysia supaya melihat diri mereka sebagai warganegara terlebih dahulu dan etnik kemudian?” soalnya.
Dalam kenyataan itu, Muhyiddin dipetik berkata; “Saya seorang Melayu Malaysia. Tapi saya tidak pernah melihat diri saya hanya sebagai Melayu. Saya perlu mempertimbangkan orang Cina, India dan lain-lain kerana saya pemimpin Malaysia”.
Beliau juga menambah bahawa slogan “Melayu dahulu” yang pernah dikaitkan dengannya kini sudah tidak relevan lagi.
Kit Siang yang juga bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri menekankan perubahan retorik hanya bermakna sekiranya ia disusuli tindakan dan dasar yang mencerminkan semangat perpaduan nasional.
Beliau berkata, kempen untuk memupuk identiti kebangsaan perlu diterajui oleh pemimpin berpengaruh agar mesej itu benar-benar meresap ke semua lapisan masyarakat.
Semalam, Muhyiddin dalam satu ceramah di Shah Alam menegaskan, dirinya kini pemimpin yang mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia dan pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu sudah tidak relevan lagi dalam konteks semasa.
Malah bekas Perdana Menteri itu turut menyatakan komitmen gabungannya untuk berlaku adil kepada semua kaum. – MalaysiaGazette

















Tak payah sembang laa..mana tu pendrive yg ko kata ada kaitann DS Najib dgn pembunuhan Kelvin Morais? senyap jaaa