Salah seorang mangsa penipuan dikenali sebagai Nor pada sidang media MHO mengenai skandal pelaburan disyaki palsu babitkan 125 mangsa dan RM39.4 juta lesap di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Dua buah syarikat tempatan yang menawarkan skim pelaburan dikenali sebagai islamik kini disiasat selepas lebih 100 mangsa tampil mendakwa kerugian mencecah RM39 juta.

Skim tersebut dipercayai tidak wujud dan disyaki menjadi modus operandi penipuan pelaburan yang tersusun.

Mangsa pertama, Maya, seorang graduan universiti dari Kuala Lumpur mendedahkan dia dan adiknya telah melabur RM50,000 daripada wang peninggalan arwah ayah mereka ke dalam skim pelaburan itu selepas melihat promosi di media sosial.

Salah seorang mangsa penipuan dikenali sebagai Maya pada sidang media MHO mengenai skandal pelaburan disyaki palsu babitkan 125 mangsa dan RM39.4 juta lesap di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 MEI 2025

Pada awalnya, mereka dijanjikan pulangan tetap setiap tiga bulan.

“Kami cuma nak belajar dan guna duit itu sebaiknya tapi sejak 2024, tiada lagi bayaran diterima.

“Wakil pelaburan yang perkenalkan diri melalui kenalan Datuk Seri Mahadi cuma beri janji palsu. Akhirnya kami diberitahu pelaburan kami ‘tak banyak sangat’ dan terus disenyapkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Nor, seorang pesara pula mendakwa kehilangan RM200,000 hasil simpanan KWSP menyifatkan pengalaman itu sebagai satu pengkhianatan kepercayaan.

“Saya percaya sebab mereka telah membuat video call bersama Datuk Seri Mahadi. Lepas beberapa bulan, dividen tak masuk. Bila tanya, macam-macam alasan.

“Yang paling saya tak sangka, bila mohon bantuan kerajaan, saya tak layak sebab nama saya tersenarai sebagai pelabur aktif. Ini menyusahkan hidup saya,” katanya sambil merayu agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Mereka adalah antara 125 mangsa yang tampil membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan guaman melalui Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Menurut MHO, skim berkenaan dianjurkan oleh dua buah syarikat tempatan sejak 2021 dan pada mulanya memang memberi bayaran dividen seperti dijanjikan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap pada sidang media MHO mengenai skandal pelaburan disyaki palsu babitkan 125 mangsa dan RM39.4 juta lesap di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 MEI 2025.

Namun Setiausaha MHO, Datuk Hishmuddin Hamid berkata, sejak Jun tahun lalu, ramai pelabur mula tidak menerima sebarang bayaran.

Lebih membimbangkan, projek-projek yang kononnya menjadi asas pelaburan langsung tidak wujud atau tiada kaitan dengan pelaburan sebenar.

Menurut kenyataan itu, mangsa-mangsa mendakwa modal pelaburan mereka telah disalah guna, malah ada yang percaya bahawa skim tersebut menggunakan dana pelabur baharu untuk membayar pulangan kepada pelabur lama.

Malah syarikat berkenaan juga gagal melaksanakan projek-projek seperti yang terkandung dalam Information Memorandum dan ada projek lain yang dipaparkan sebagai ‘aktiviti syarikat’ tetapi langsung tidak disebut dalam dokumen rasmi kepada pelabur

Hishamuddin turut mengesahkan lebih RM6 juta kerugian telah didokumenkan secara rasmi setakat ini dan jumlah itu dijangka meningkat.

“Kami ada semua bukti transaksi, komunikasi dan rakaman yang mengaitkan individu tertentu yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat.

“Kami tidak tuduh sembarangan tetapi semua ini mesti disiasat secara menyeluruh. Ini bukan kes terpencil. Ramai mangsa bergantung kepada wang pelaburan ini untuk keperluan asas hidup mereka,” ujarnya.

Beliau menyeru pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk segera menjalankan siasatan kerana wujud unsur penipuan berskala besar.

Beliau juga percaya skim pelaburan i-RPS ini sebenarnya tidak wujud dan hanya menjadi saluran untuk mengaburi mata mangsa-mangsa dengan pelbagai janji palsu dan projek bayangan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya sendiri melabur, saya juga mangsa – Mahadi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast