Mayat Rennie yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, kelmarin dibawa turun oleh pendaki dan pasukan keselamatan

JOHOR BAHRU – Jenazah pendaki rakyat Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, kelmarin dijangka diterbangkan pulang ke Malaysia esok.

Adik mangsa, Pojieyana Mohamad menerusi akaun Facebook miliknya memaklumkan, jenazah akan dibawa pulang ke Johor Bahru selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Segala maklumat berhubung urusan pengebumian akan dimaklumkan sebaik sahaja proses dokumentasi selesai,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, jenazah Rennie berjaya dibawa keluar dari lokasi curam sedalam 80 meter pada petang kelmarin.

Difahamkan, Allahyarham memulakan pendakian pada 1 Mei lalu bersama-sama 23 lagi pendaki lain.

Menurut kenyataan rasmi Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), kejadian berlaku ketika kumpulan itu berhenti untuk mendapatkan air minuman di mata air Banyu Urip.

Bagaimanapun katanya, mangsa terus berjalan tanpa berehat dan ketua kumpulan tersebut sudah mengekori mangsa.

Sewaktu melintasi di laluan yang terdapat pagar tali keselamatan, ketua kumpulan itu berniat membantu mangsa melalui laluan tersebut, namun mangsa enggan.

Difahamkan, Allahyarham melepaskan pagar tali keselamatan dan tapak kakinya tergelincir ketika menuruni laluan menyebabkan mangsa hilang imbangan serta terjatuh ke kanan di laluan mendaki.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Rinjani: Rennie terlepas pegangan tali keselamatan sebelum tergelincir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast