KUALA LUMPUR – “Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepimpinan parti sebagai timbalan presiden dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.
“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah”.
Itu kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam hiruk pikuk anggota parti bersetuju jika salah seorang Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melawannya dalam pemilihan parti.
Rafizi menerima baik berita-berita bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.
“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti.
“Ia keputusan yang menang-menang bagi saya,” kata dalam kenyataan hari ini.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi itu memaklumkan sepanjang bercuti, beliau telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution.
“Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar, saya mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah Pilihanraya Umum ke-16 (PRU-16) perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat.
“Saya menyatakan bahawa saya bersedia untuk tidak bertanding Timbalan Presiden dan tidak menyertai Kabinet untuk memberi tumpuan kepada kempen akar umbi.
“Kebimbangan saya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (), dan tidak menyerang () seperti rentak KEADILAN semasa menjadi pembangkang.
“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU-16. Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas, seperti sebelum ini.
“Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen KEADILAN yang dilihat tidak agresif. Saya juga menyuarakan perkara yang sama kepada Datuk Seri Saifuddin dan menyatakan kesediaan saya untuk memberi laluan, agar saya boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU-16 tanpa perlu terikat kepada peraturan kabinet dan kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding Timbalan Presiden PKR dan menjadi sebahagian dari Kabinet.
“Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya.
Mengenai pemilihan peringkat cabang, menurutnya, ia telah mengundang beberapa fenomena baru termasuklah keadaan bila mana hanya calon Ketua Cabang menang tetapi keseluruhan jawatankuasa dan sayap-sayap dimenangi oleh pesaing.
“Saya juga dimaklumkan jumlah bantahan melebihi 190 di seluruh negara,” katanya.
Menyedari bahawa aduan-aduan dan isu yang timbul perlu diuruskan dengan harmoni, sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau membuat keputusan untuk memberi tumpuan menguruskan perkara ini sepenuh masa termasuk berjumpa dan mendengar sendiri isu yang dibangkitkan oleh pelbagai calon yang bertanding, tanpa mengira kumpulan.
“Masa yang diperlukan adalah panjang. Sewajarnya, kerja-kerja mengurus parti yang memerlukan masa khusus seperti ini tidak dicampuradukkan dengan tugas dan masa sebagai seorang menteri.
“Bagi saya, mengasingkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti politik dari tugasan rasmi seorang menteri adalah satu budaya politik baru yang wajar kita semai,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















