Kapal kargo yang ditahan APMM di Pulau Che Mat Zin, dekat Pelabuhan Klang, semalam. Gambar ihsan: APMM

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal kargo dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.23 batu nautika timur, Pulau Che Mat Zin, dekat Pelabuhan Klang, semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dilakukan  sekitar pukul 2 petang oleh bot peronda Maritim yang melakukan rondaan rutin OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 di perairan Selangor.

Menurutnya, kapal terbabit menuju ke Pelabuhan Selatan dalam radar dengan dua nama yang berbeza dan penahanan dibuat untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati, kapal itu dikendalikan seorang nahkoda berumur 63 tahun bersama dua kru masing-masing berusia 26 dan 35 tahun yang kesemuanya adalah warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, menemukan sistem AIS (Sistem Pengenalan Automatik) kapal tersebut meragukan dan disyaki melakukan kesalahan.

“Berikutan itu, kapal terbabit telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana sistem AIS kapal memancarkan dua nama berbeza dengan No. MMSI (Identiti Perkhidmatan Mudah Alih Maritim) yang sama.

Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast