KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menempelak dakwaan pemimpin UMNO Pahang bahawa Pas merupakan parti lemah dan tiada masa depan.
Sebaliknya, dakwa beliau, Pas merupakan parti paling kukuh dan bermaruah yang mana banyak perkara yang dimiliki parti itu tidak ada pada UMNO.
Sebagai contoh, katanya, markas-markas Pas boleh ditemui di hampir setiap pelusuk negara ini, dengan kesemuanya dibangunkan menggunakan wang Pas sendiri tanpa bantuan kerajaan, meskipun di negeri yang ditadbir parti itu.
Selain itu, ujarnya, Pas juga mempunyai rantaian pendidikan yang kemas dan teratur bermula dari peringkat prasekolah sehinggalah ke pengajian tinggi dan institusi pondok.
Dalam masa sama, tambah beliau, Pas juga mempunyai badan kebajikan yang aktif seperti unit dan jabatan amal selain merupakan parti dengan kerusi terbanyak di Parlimen.
“PAS kuat, cuma PAS tidak memerintah. Itupun kerana demi menjaga maruah agama dan perinsip perjuangan Islam yang lebih mahal daripada sebuah kuasa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Catatan beliau itu merujuk kepada ucapan seorang pemimpin UMNO Pahang, namun tidak dinyatakan pemimpin berkenaan.
Sementara itu, Mokhtar berkata, UMNO berasakan parti tersebut kuat ketika ini kerana merupakan sebahagian daripada kerajaan.
Sedangkan, dakwa beliau, kekuatan UMNO itu hanyalah kerana parti tersebut bertenggek kepada DAP.
“Memang tabiat dan perangai UMNO yang mudah lupa diri.
“UMNO ibarat si kudung yang rasa kuat kerana boleh berdiri, tanpa sedar bahawa ia sedang berdiri menggunakan kaki palsu.
“Kamu tinggi bukan kamu hebat, tapi kerana kamu dahulu yang bertenggek di dahan DAP,” katanya. – MalaysiaGazette
















