KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dinasihatkan agar memberikan fokus kepada kempen pemilihan termasuk penyampaian dan tawaran yang akan diberi dan bukan beretorik hingga boleh mengelirukan.
Teguran itu dibuat Pengarah Strategi PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad yang tidak pasti apakah niat Ahli Parlimen Pandan itu yang enggan merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita PKR.
Katanya, adalah adalah tidak adil untuk isu berkenaan dijadikan modal kempen dalam Pemilihan Parti 2025 yang beliau sendiri sertai.
“Saya bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat bersama 82 calon lain. Fokus kami adalah untuk menjelaskan kepada anggota mengenai apa yang mampu kami tawarkan untuk tempoh tiga tahun akan datang.
“Namun media kini dipenuhi dengan retorik yang menggambarkan seolah-olah parti sedang berpecah-belah dan menuju kehancuran, sedangkan hakikatnya tidak begitu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Saifuddin menjelaskan, anggota parti peringkat akar umbi sangat kukuh dan teguh serta setiap himpunan yang dihadirinya berlangsung dengan penuh harmoni dan kemesraan.
Katanya, semua anggota parti mendengar visi yang diketengahkan, meneliti setiap tawaran dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Inilah keindahan Pemilihan Keadilan yang telah saya ikuti sebanyak lima kali, perbezaan pendapat itu biasa namun menyeret seluruh parti kononnya ke arah kejatuhan adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak berasas,” tambahnya.
Beliau menyeru agar semua pihak kembali kepada meja rundingan dan menggunakan saluran dalaman parti sekiranya ada perkara yang menimbulkan rasa tidak senang.
“Insya-Allah, anggota akan membuat pilihan yang terbaik pada hari Jumaat nanti. Tiada kemenangan yang dijamin. Semua pihak sedang berusaha keras, berkempen dan berdoa. Kepada Allah SWT jua kami berserah,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dipetik enggan merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan yang dijadual berlangsung pada 22 Mei ini di Johor Bharu.
Menurut sumber dalaman tertinggi parti yang enggan namanya didedahkan, Rafizi telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pendiriannya untuk tidak memenuhi undangan tersebut.
Tindakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sokongan yang semakin meningkat terhadap calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar, serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – MalaysiaGazette
















