KUALA LUMPUR – Empat pegawai ditahan disyaki bersubahat membantu warga asing melepasi pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Januari hingga April lalu.
Menurut Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), penahanan itu dilakukan hasil pemeriksaan dan pemantauan berterusaan pihaknya di KLIA sepanjang tempoh tersebut.
“Empat pegawa itu disiasat disyaki terlibat aktiviti ‘counter setting’, iaitu amalan melepaskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa melalui prosedur yang sah dan teratur.
“Kita juga menahan 25 warga asing yang cuba keluar dari Malaysia terdiri daripada warga Vietnam, Kemboja, India, dan Indonesia didakwa tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini dan pengesahan masuk mereka disyaki telah diperoleh tanpa prosedur yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
AKPS berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau individu yang boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terbabit.
“AKPS akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















