JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan memandu kereta dengan melawan arus, dua minggu lalu.
Tertuduh, S Thaanesh, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta didakwa memandu di atas jalan raya secara melulu dengan cara menyongsang arus di Kilometer 4 Jalan Gelang Patah-Ulu Choh di sini, pukul 9 pagi, 9 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 bagi sabitan pertama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu diendorse ke mahkamah dan jika mempunyai lesen percubaan ia akan dibatalkan.
Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Peguam VS Selvanteran yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya berniaga secara kecil-kecilan dan menanggung ibunya yang juga ibu tunggal.
“Ibu tertuduh tidak bekerja dan mempunyai sakit jantung serta angin ahmar,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun depan bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, tular video pemandu Perodua Axia berwarna jingga yang memandu secara melawan arus dalam kesesakan jalan raya sehingga kenderaa itu ‘dihimpit’ dua treler.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu memandu secara melawan arus sejauh 500 meter kerana tersalah masuk lorong untuk ke stesen minyak berhampiran.
Menerusi dua video tular dalam media sosial berdurasi enam saat dan 18 saat itu, memaparkan pemandu kereta terbabit ‘menyelit’ di laluan motosikal iaitu di tengah antara kereta yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas.
Satu lagi video lain memaparkan kereta terbabit yang tidak mempunyai nombor pendaftaran di bahagian hadapan bersama pemandu di dalamnya tidak bergerak dan dihimpit dua treler.- MalaysiaGazette
















