KUALA LUMPUR – Pemuda MCA tidak akan melayan provokasi politik murahan yang dimainkan oleh Pemuda DAP (DAPSY) berhubung isu pelaksanaan inisiatif MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menegaskan, pihaknya tidak menunggu cabaran daripada DAPSY untuk mengambil tindakan, sebaliknya telah pun bertindak lebih awal dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggesa Jabatan Audit Negara menjalankan siasatan terperinci.
“MCA tidak bermain politik, sebaliknya kami mahu ketelusan. Kenyataan DAPSY yang menuduh kami cuba sabotaj kerajaan hanya menunjukkan kegusaran mereka terhadap isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP yang seolah-olah tidak mahu isu berkenaan disiasat secara menyeluruh dan enggan memberi penjelasan kepada rakyat berkenaan pelaksanaan projek MyKiosk oleh kementerian yang diterajui oleh pemimpin DAP, Nga Kor Ming.
“Kami ingin tahu mengapa banyak unit MyKiosk masih kosong dan kenapa harganya mencecah RM25,000 seunit sedangkan harga pasaran hanya sekitar RM12,000? Ini menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan projek ini,” katanya.
Neow menegaskan, bahawa MCA adalah parti yang matang dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, berbeza dengan DAP yang sering memainkan isu politik ketika menjadi pembangkang.
“Dalam hal ini, kita serahkan kepada SPRM dan Jabatan Audit untuk menjalankan siasatan tanpa gangguan politik. Pemuda MCA lebih memilih untuk fokus bekerja demi rakyat dan negara,” ujarnya.
Terdahulu, DAPSY menuduh MCA menggunakan isu MyKiosk untuk kepentingan politik dan mendakwa ia merupakan usaha mensabotaj Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Pemuda MCA menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan kebudak-budakan. – MalaysiaGazette
















