JOHOR BAHRU – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak kelihatan pada hari terakhir Kongres Nasional parti itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, pagi tadi.
Ketidakhadiran beliau mencetuskan pelbagai spekulasi, apatah lagi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir seawal jam 8.40 pagi bersama beberapa pimpinan tertinggi lain.
Difahamkan, kerusi yang diperuntukkan untuk Rafizi kekal kosong sejak permulaan kongres pagi tadi.
Menurut sumber yang enggan dinamakan, Menteri Ekonomi itu difahamkan sudah berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
“Rafizi sudah pulang ke Kuala Lumpur. Pasukannya pun sudah meninggalkan Persada Johor,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Semalam, Rafizi tewas dalam pemilihan parti kepada anak sulung Anwar, Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Keputusan rasmi diumumkan lewat malam tadi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, selepas Anwar merasmikan Kongres Nasional Keadilan 2025.
Nurul Izzah, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi menewaskan Rafizi yang meraih 3,866 undi.
Untuk rekod, Rafizi sebelum ini pernah tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan 2018, sebelum bangkit menewaskan Saifuddin Nasution Ismail pada pemilihan 2022. – MalaysiaGazette
















