KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang menghasilkan dron tempur berteknologi tinggi dengan termeterainya perjanjian strategik pemindahan teknologi antara PM Defence Sdn Bhd (PMD) dan syarikat pertahanan Turki, Dasal Havacilik Teknolojileri A.S (Dasal).
Pengerusi PMD, Datuk Bastien Onn berkata, kerjasama dengan Dasal bukan sahaja memperkukuh aspek pertahanan negara, malah membuka laluan untuk pembangunan dron tempur buatan tempatan yang memiliki nilai komersial tinggi dan berpotensi untuk dieksport.
“Perjanjian ini turut merintis peluang kepada universiti-universiti tempatan untuk turut serta dalam inovasi dron pertahanan serta sistem berautonomi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, usaha ini selari dengan hasrat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu menyaksikan lebih banyak kerjasama antara institusi pengajian tinggi tempatan dan syarikat pertahanan luar negara, khususnya dari Turki.
Menurut Bastien, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama yang menunjukkan minat dengan menjemput pihaknya untuk mengadakan pertemuan awal.
Katanya, sambutan itu membuktikan kesediaan institusi pendidikan tinggi untuk meneroka peluang dalam bidang teknologi dron serta integrasi kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ini membuktikan bahawa AI dan TVET bergerak seiring dalam memastikan keupayaan daya fikir dan bidang penghasilan teknologi tinggi dalam industri dron negara,” ujarnya.
Kerjasama ini kata Bastien, dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan dron pelbagai guna yang bukan sahaja berupaya menyokong keperluan pertahanan negara, malah berpotensi menjadi antara produk strategik baharu di pasaran antarabangsa. – MalaysiaGazette
















