JOHOR BAHRU – Dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu dua individu dalam pembelian rumah di bawah Projek Perumahan Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) membabitkan jumlah RM24,000 pada empat tahun lalu.

Dua tertuduh berkenaan, M Thianmolly, 42, yang juga penjawat awam dan suri rumah, V Tara, 30, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mereka berdua didakwa mencapai niat bersama menipu seorang lelaki dan seorang wanita dengan memperdayakan mangsa untuk percaya  mereka boleh membantu menguruskan pembelian rumah di bawah Projek Perumahan RIBJ.

Kedua-duanya tahu mereka bukan pegawai atau wakil yang dilantik oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi urusan permohonan rumah tersebut dan dengan itu mereka didakwa dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang masing-masing berjumlah RM8,000 dan RM16,000.

Mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Setia Tropika 1/21, Setia Tropika di sini kira-kira pukul 11 pagi, 21 Februari 2021, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 seorang bagi kedua-dua pertuduhan.

Namun peguam Tan Pon Au yang mewakili Thianmolly memohon Timbalan Pendakwaraya tawar RM20,000 jaminan bagi dua-dua pertuduhan jumlah ikat jamin yang lebih rendah menandangkan anak guamnya berpendapatan RM3,200 sebulan dan mempunyai pelbagai penyakit.

“Tertuduh adalah pegawai imigresen di Setia Tropika sejak 2007 dan merupakan pesakit diabetes, kolestrol dan darah tinggi serta mempunyai masalah buah pinggang tahap empat.

“Dia juga menanggung seorang ibu berusia 74 tahun yang juga pesakit diabetes, kolestrol dan darah tinggi serta masalah katarak mata,” katanya.

Peguam Amarpreet Singh Rajwinder Singh pula yang mewakili Tara berkata, wanita itu baharu kematian suami pada 12 Mei lalu.

Katanya, tertuduh yang juga bekas pegawai kewangan menanggung ibu bapa berusia lebih 70 tahun selain dia mempunyai masalah tulang belakang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Jun depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast