Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada media berkenaan Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor 2025 di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2025.

SHAH ALAM – Cadangan melanjutkan had usia persaraan kepada 65 tahun mempunyai kesan baik dan buruk yang wajar dikaji dan dipertimbangkan secara teliti.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan tersebut memberi peluang kepada pekerja untuk menambah pengalaman.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, kakitangan yang lebih muda perlu diberi ruang dan peluang.

“Yang baiknya kita dapat sambung pengalaman mereka yang mempunyai kemahiran dan juga pengalaman yang luas tetapi kita kena bagi ruang yang muda untuk naik.

“ Kalau kita biarkan masa bersara itu lebih lanjut… Hal ini kita kena tengok  daripada kedua-dua (baik dan buruk) aspek,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin berpendirian sekiranya ia dilaksanakan, pekerja perlu diberi pilihan untuk meneruskan perkhidmatan secara kontrak pada had usia tersebut bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Saya rasa kena ada pilihan disediakan, yang ada pengalaman lebih luas untuk kena ada pilihan dalam bentuk kontrak.

“Jadi kerajaan juga tidak perlu menanggung kos yang sangat tinggi untuk perkhidmatan, perubatan dan sebagainya. Jadi pilihan ini perlu dibuat, cadangan boleh dirujuk kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam),” jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini bahawa kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menaikkan had usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun.

Azalina berkata, ia kerana ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif, malah ada beberapa negara lain turut melaksanakan had usia persaraan hingga 65 tahun.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast