Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR — Spekulasi mengenai peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli terus menjadi perhatian apabila tiada pengesahan rasmi diberikan oleh pimpinan PKR setakat ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan peletakan jawatan Rafizi.

“Saya tidak ada maklumat tersebut (mengenai spekulasi peletakan jawatan Rafizi) buat masa ini, kita tunggu dahulu,” katanya kepada media selepas majlis penutupan Projek Sigma di ibu negara hari ini.

Pada 10 Mei lalu, Rafizi berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai menteri Kabinet dan menjadi Ahli Parlimen biasa sekiranya gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Dalam pemilihan minggu lalu, Nurul Izzah menang jawatan Timbalan Presiden PKR dengan majoriti besar, menewaskan Rafizi yang memperoleh 28 peratus undi.

Susulan itu, Rafizi berkata, beliau tetap bersemangat dan bertekad untuk meneruskan perjuangannya demi Malaysia yang lebih baik.

Rafizi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini atas kapasitinya sebagai Menteri Ekonomi.

Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa satu Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan diadakan dalam masa terdekat selepas pemilihan parti baru-baru ini.

Bagaimanapun, Fahmi memaklumkan beliau belum menerima sebarang tarikh rasmi bagi mesyuarat tersebut.

“Setakat ini saya belum (menerima tarikh mesyuarat MPP), saya akan semak tapi setakat ini belum lagi,” jelasnya.

Menurut beliau, kebiasaannya mesyuarat MPP akan diadakan selepas pemilihan bagi mengesahkan pelantikan baharu serta mengisi jawatan yang berkaitan dalam struktur kepimpinan parti.

Sementara itu, Rafizi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Mesyuarat MPP yang akan datang dijangka menjadi medan bagi merungkai persoalan mengenai kedudukan beberapa pemimpin utama parti serta hala tuju PKR pasca pemilihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast