JASIN – Sepasang pengantin baru disyaki tokan dadah yang turut menyasarkan penjualan vape mengandungi cecair campuran dadah kepada pelajar sekolah diberkas polis di rumah sewa mereka di Jasin Bestari, di sini, semalam.
Pasangan itu yang baru tiga bulan mendirikan rumah tangga, lelaki warga Singapura berusia 41 tahun dan isterinya rakyat tempatan, 38 tahun, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada pukul 11 pagi,
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati pasangan tersebut dipercayai aktif memasarkan pelbagai jenis dadah dalam bentuk vape, pil dan serbuk sekitar negeri ini sejak tiga bulan lalu.
“Hasil serbuan, kita merampas cecair ketamin seberat 127.5 mililiter yang dipercayai digunakan dalam vape, 212 biji pil ekstasi, 212 biji pil Eramin 5, 13.7 gram syabu, ganja (10 gram) dan 80 gram serbuk ketamin yang boleh digunakan 786 orang penagih.
“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dan sebuah motosikal SYM Husky milik pasangan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM32,650,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati pasangan itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek lelaki turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau di Singapura, manakala kesemua dadah yang dijual dipercayai dipasarkan melalui media sosial dan kenalan rapat,” katanya.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 27 Mei hingga 2 Jun 2025 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, dalam kejayaan berasingan, JSJN Melaka turut menumpaskan satu lagi sindiket dadah di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz pada 20 Mei lalu yang didalangi pasangan kekasih,
“Dalam serbuan itu, polis menahan lelaki tempatan dan wanita Vietnam, masing-masing berusia 30 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah seperti heroin, syabu, ketamin, MDMA dan pil ekstasi serta barang kes membabitkan nilai keseluruhan sitaan RM362,370,” katanya. – MalaysiaGazette
















