Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencadangkan supaya kerajaan memperincikan langkah perlindungan keselamatan bagi mengelak penyalahgunaan MyKad termasuk kecurian identiti oleh pihak ketiga.

Exconya, Fadzli Roslan berkata, penyalahgunaan kad pengenalan adalah perkara yang perlu dielakkan sebelum kerajaan  melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

“AMK mencadangkan agar sistem tambahan seperti pengesahan dua faktor (2FA), biometrik atau pengesahan data masa sebenar (realtime) turut dipertimbangkan bagi melindungi integrity sistem dan hak rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa kerajaan menetapkan garis panduan dan hukuman tegas terhadap individu atau sindiket yang didapati menggunakan MyKad milik orang lain bagi mendapatkan subsidi.

“Penyalahgunaan ini bukan sahaja mencemarkan objektif dasar malah merampas hak rakyat yang layak.

“Undang-undang sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan tegas tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu menurut Fadzli, AMK menyifatkan dasar penyasaran subsidi adalah langkah bertanggungjawab untuk mengurus kewangan negara selain memperkukuhkan jaringan perlindungan social.

Namun ujarnya, pelaksanaan tersebut hanya akan berjaya sekiranya ia dilakukan dengan langkah yang efisien, telus dan selamat.

Mengulas lanjut Fadzli berkata kerajaan juga perlu menjelaskan kaedah penggunaan MyKad di pam minyak.

“Supaya mereka bersedia dari segi teknikal dan praktikal. Penjelasan awal ini penting bagi memastikan kelancaran penggunaan sistem tanpa gangguan serta meningkatkan kefahaman rakyat di semua peringkat,” ujarnya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95.

Pada 18 Oktober lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan penyasaran subsidi RON95 dijangka dilaksanakan pertengahan tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast