JOHOR BAHRU – Tiga orang suruhan ahlong yang mengambil upah mengugut dan melakukan khianat di rumah peminjam wang akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek lelaki berkenaan yang berusia 24 hingga 31 tahun akan dituduh kerana menyimbah cat dan melakukan ugutan jenayah.
“Sebanyak lapan kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan mendapat arahan pertuduhan.
“Sebanyak enam pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerugian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Kumar, satu pertuduhan akan dibuat bawah Seksyen 597 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan manakala satu lagi pertuduhan bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah.
Terdahulu pada 8 Mei lalu, Kumar dilaporkan berkata, polis Johor menumpaskan sindiket along yang menyasarkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura, selepas menahan empat ahlinya dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, operasi itu dijalankan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 17 April lalu.
Kumar memberitahu, siasatan awal mendapati suspek dibayar antara RM100 hingga RM350 bagi melakukan perbuatan khianat seperti menyimbah cat, mengunci pintu rumah dan mengugut mangsa yang gagal membayar pinjaman. – MalaysiaGazette
















