KULAI – Gara-gara tertarik dengan tawaran keuntungan secara mingguan, seorang jurutera rugi RM169,500 diperdaya pelaburan saham tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu lelaki tempatan berumur 30 tahun mendakwa berminat dengan pelaburan saham yang menawarkan keuntungan setiap minggu.
“Mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 8 hingga 20 peratus dalam tempoh tujuh hari.
Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke akaun aplikasi pelaburan milik mangsa.
“Tertarik dengan tawaran keuntungan yang dijanjikan, mangsa mmebuat pembayaran 11 kali transaksi pembayaran berjumlah RM169,500 ke dalam satu akaun bank tempatan bermula 3 April hingga 22 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa kemudian membuat semakan dalam akaun miliknya dan mendapati keuntungan yang diperolehi adalah sebanyak RM422,662.34.
Namun apabila mangsa cuba membuat pengeluaran katanya, tidak berjaya.
“Mangsa mendakwa suspek masih memintanya membuat pembayaran tambahan berjumlah RM80,000 bagi mendapatkan pulangan tersebut.
“Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan saham tidak wujud. – MalaysiaGazette















