KUALA LUMPUR – Seorang lelaki nyaris rentung apabila sempat keluar menyelamatkan diri sebelum kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Peugeot miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Tawar-Kulim, Baling, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.55 malam itu, mangsa berusia 37 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sebelum sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Izi Mohamad Yunus Ali bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan terbakar dengan api sedang marak.
“Difahamkan juga bahawa mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Baling menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.
“Namun, mangsa tiba-tiba terhidu bau hangit sebelum terdengar bunyi letupan kecil di bahagian hadapan kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan letupan itu, mangsa keluar menyelamatkan diri sebelum api marak membakar keseluruhan kenderaan.
Menurutnya, buih pemadam api (foam) digunakan untuk memadam kebakaran dan operasi turut dibantu pihak polis bagi mengawal aliran trafik di lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 30 minit.
Bagaimanapun, kenderaan mangsa musnah sebanyak 95 peratus.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















