JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis trafik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 berhubung kes kemalangan yang disiasatnya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Wan Shazrul Wan Shamsuddin, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima RM1,000 daripada seorang individu sebagai dorongan melakukan sesuatu berkaitan hal ehwal prinsipal iaitu menyerahkan dokumen bersabit kemalangan jalan raya.
Dia yang merupakan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Jalan Ismail, Mersing pukul 4 petang, pada 13 Disember 2023.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Ameera D’Aneez Mohd Shukari berkata, kesalahan itu merupakan kesalahan tidak boleh jamin, tetapi meminta RM10,000 jika mahkamah membenarkan jamin.
Peguam, K Bharathi mewakili tertuduh memberitahu, tertuduh menanggung seorang isteri tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di Ibu Pejabat SPRM Johor dan pasport antarabangsa diserah ke mahkamah.
Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 8 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















