Kumar menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam dua operasi, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menahan lapan ahli sindiket termasuk dua wanita asing serta merampas lebih 15 kilogram dadah bernilai RM2.3 juta dalam dua operasi khas di daerah ini dan Pontian pada 20 dan 21 Mei lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah Pontian melakukan operasi tersebut dari pukul 3.30 petang, pada 20 Mei hingga 11 malam, pada 21 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, menerusi serbuan di sebuah apartment yang berpengawal dan berpagar di Skudai di sini, lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam dan seorang lagi wanita warga Myanmar berusia 29 hingga 54 tahun ditahan.

“Enam suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin manakala semakan rekod mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Dalam operasi ini kita turut merampas 7,080.00 gram (g) serbuk ekstasi; 1,372.00 g heroin; 139.34 g ketamin; 123.10 syabu dan 39.03 g pil erimin 5,” katanya dalam sidang media di IPK Johor di sini hari ini.

Katanya, nilai rampasan dadah itu berjumlah RM1,239,483 yang boleh digunakan seramai 31,899 penagih jika terlepas ke pasaran.

Polis, katanya, turut menyita tiga kenderaan, dua motosikal, wang tunai dan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM137,273, sementara keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM1,376,765.20.

Kumar berkata, menerusi operasi di sebuah rumah teres yang berpengawal dan berpagar di Pontian, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bersama-sama sejumlah rampasan dadah.

Hasil saringan urin katanya, mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod lampau mendapatinya mempunyai rekod lampau dadah.

Munurutnya, menerusi operasi itu pihaknya merampas 6,404.16 g serbuk ekstasi; 5.66 g ketamin; 20.04 g syabu; 31.74 g pil ekstasi dan 1.06 g pil yaba (lapan biji) manakala jumlah semua rampasan dadah itu RM1,076,750.00.

Beliau memberitahu, turut disita wang tunai manakala jumlah rampasan dadah dan sitaan semuanya RM1,077,350.20.

“Kedua-dua sindiket ini melakukan pembungkusan dan pengedaran dadah di apartment dan rumah teres tersebut yang sewa. Bekalan dadah diperoleh dari kawasan utara Semenanjung.

“Semua urusan pembelian dan pembayaran dadah dilakukan sindiket di Johor Bahru itu adalah menerusi aplikasi WeChat. Dadah akan diletakkan di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan dan pembeli atau pembekal yang datang akan mengambil barang seterusnya meletakkan duit di situ.

“Mereka meletakkan barang di merata tempat. Tiada satu lokasi yang tetap. Urus niaga mereka juga tidak terbuka, mereka sudah mengenal pasti pelanggan tetap sebelum berurus niaga,” ujarnya.

Semua suspek tambahnya, direman untuk siasatan sehingga 2 Jun ini.

Kes disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala warga Myanmar disiasat dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast