Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Malaysia dinobatkan sebagai negara nombor satu sebagai destinasi pilihan pelancongan perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian tersebut hasil usaha dalam kalangan petugas kesihatan awam dan swasta yang saling bekerjasama, selain pelabur dan rakan strategik yang memperkukuhkan imej negara sebagai hab kesihatan global.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat, terutamanya Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) atas dedikasi dan kerja keras memacu sektor ini ke tahap yang membanggakan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, pengiktirafan tersebut  berdasarkan rekod Nomad Capitalist, sebuah firma global yang berpangkalan di Dubai mengatasi negara ternama seperti Singapura, India dan Turkiye.

“Pada tahun 2023 sahaja, sektor pelancongan perubatan Malaysia menjana lebih RM2 bilion hasil, dengan kehadiran kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan dari rantau Asia dan seluruh dunia.

“Mereka hadir kerana yakin dengan kepakaran doktor dan jururawat kita, dengan standard penjagaan kesihatan yang tinggi, serta pada keunikan gabungan rawatan moden dan layanan mesra (Malaysian hospitality) serta nilai murni masyarakat Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dzulkefly memberi jaminan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memperkasakan bidang penjagaan dan memacu transformasi digital sistem kesihatan dan memastikan sistem yang saksama, mampan dan bersedia hadapi cabaran masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast