KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kesucian martabat dan imej beliau daripada tuduhan seksual di mahkamah.
Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, sikap berselindung di sebalik peruntukan Perlembagaan, lebih-lebih lagi oleh seorang Perdana Menteri dalam menjawab dan menghadapi satu pertuduhan berat tidak melambangkan ketegasan dalam menegakkan keadilan.
Apatah lagi, ujar beliau, Anwar sendiri menegaskan tuduhan tersebut merupakan satu konspirasi jahat oleh pihak tertentu yang mahu menjatuhkan beliau.
“Sekiranya betullah saman sivil ini merupakan satu konspirasi jahat dan keji untuk menjatuhkan martabat dan imej beliau sebagai seorang pemimpin yang suci, buktikanlah kesucian anda wahai PMX!” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Khaliq Mehtab turut mempersoalkan laungan ‘reformasi’ dan ‘lawan tetap lawan’ yang sering diucapkan Anwar dalam mendepani tuduhan seksual itu.
“Bukankah ini platform terbaik untuk PMX membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa beliaulah pejuang rakyat yang sentiasa mengutamakan ketelusan, pentadbiran yang cekap dan amanah dan dilihat sebagai penyelamat negara dari segala kejahatan, salah guna kuasa dan kejahilan pemimpin yang lepas?” katanya.
Semalam, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette
















