Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Pengembara dari enam negara ASEAN iaitu Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Vietnam serta Timor Leste kini boleh menggunakan kemudahan autogate passport bagi tujuan pelepasan keluar imigresen dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, kemudahan ini telah dimulakan pada 15 Februari 2025 dan KDN menggalakkan penggunaan kemudahan ini bagi melancarkan pelepasan keluar dari Malaysia.

Kementerian itu berkata, pada masa ini, penggunaan autogate pasport bagi tujuan pelepasan imigresen telah diberikan kepada 63 buah negara termasuk Singapura dan Brunei.

Pengecualian turut diberikan kepada pemegang pasport dari negara yang tidak dilengkapi dengan cip, selaras dengan keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk keselamatan dan pematuhan teknikal bagi membolehkan sistem autogate mengesahkan identiti dengan tepat dan selamat.

Langkah perluasan kemudahan autogate ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan  untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, pantas dan berteraskan ihsan kepada rakyat serta pengembara asing.

Katanya, inisiatif ini turut mendukung semangat keterangkuman dan kerjasama serantau, terutamanya dalam memperkukuh hubungan diplomatikdan pelancongan antara Malaysia dan negara-negara ASEAN serta Timor Leste.

Kemudahan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan dalam meningkatkan kecekapan pengurusan pergerakan pengembara di pintu masuk negara, khususnya dalam menghadapi peningkatan ketara jumlah pelancong antarabangsa sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), menurut KDN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast