KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengkritik keras tindakan Kerajaan Perpaduan yang mewajibkan penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial 14 kilogram kepada semua peniaga bermula 1 Mei.
Beliau menyifatkan langkah tersebut tergesa-gesa dan tidak mengambil kira kepentingan peniaga kecil serta rakyat terbanyak.
“Ribuan peniaga nano, mikro dan kecil – khususnya pengusaha makanan dan dobi layan diri kini menanggung beban kos operasi yang luar biasa tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, keputusan itu menunjukkan kegagalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta kerajaan dalam mempertahankan kebajikan peniaga berskala nano, mikro dan kecil, seperti pengusaha makanan dan dobi layan diri, yang kini terpaksa menanggung peningkatan mendadak dalam kos operasi harian.
Faisal turut menggariskan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos sejak tahun 2023 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan PH-BN.
Antaranya termasuklah penarikan subsidi berskala besar, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), surcaj tarif elektrik, penyusutan nilai ringgit dan pelbagai kenaikan mendadak dalam harga bahan mentah dan sewaan premis.
“Rakyat tidak menuntut subsidi tanpa had, tetapi mahukan Perdana Menteri, menteri dan kerajaan yang prihatin, mengutamakan kepentingan mereka terlebih dahulu dan tidak bersikap zalim dan tanpa perikemanusiaan dalam setiap keputusan dasar,” katanya.
Beliau mendedahkan peniaga kini menanggung peningkatan kos LPG dari RM2,600 ke RM7,000 sebulan iaitu lonjakan sebanyak RM4,400.
Ini bermakna peningkatan kos harian sebanyak RM147 yang akhirnya terpaksa dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga makanan dan perkhidmatan asas.
Tambahnya lagi, kenaikan kos tidak terhenti pada LPG sahaja kerana tarif asas elektrik juga bakal naik 14.2 peratus bermula Julai 2025.
Peniaga tiada pilihan lain selain menaikkan harga produk, mengurangkan kualiti atau saiz hidangan, serta menaikkan harga penggunaan mesin dobi dimanacsemua ini memberi impak kepada pengguna akhir.
Faisal menyelar kerajaan kerana tidak menyediakan sebarang pelan mitigasi atau pengecualian khas untuk peniaga kecil sebelum dasar ini dilaksanakan.
Beliau mencadangkan agar kerajaan melaksanakan fasa pengecualian bersasar terlebih dahulu dan menyediakan insentif serta bantuan yang sesuai sebelum bertindak tegas terhadap golongan ini.
“Laksanakan fasa pengecualian LPG komersial khusus untuk kategori nano, mikro dan kecil terlebih dahulu, sediakan insentif sokongan dan pelan mitigasi sebelum penguatkuasaan dan elakkan tindakan keras (Ops Gasak) terhadap peniaga berskala nano, mikro dan kecil tanpa kompromi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















