Bekas Pengarah Maritim Zon Maritim Tanjung Sedili dihukum penjara 20 bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini

JOHOR BAHRU – Bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili dihukum penjara 20 bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi kesalahan menerima suapan berjumlah RM10,000, lima tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail berkuat kuasa hari ini, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 44, melampaui keraguan yang munasabah pada akhir kes pembelaan.

“Setelah mendengar dan menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan, mahkamah berpendapat tertuduh telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Mahkamah memutuskan tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan,” hujah beliau dalam penghakimannya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda berbanding penjara atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia antara tiga hingga 11 tahun.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa penjawat awam itu telah ditahan kerja sejak 23 Mei 2021 dan sepanjang tempoh itu, tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing dan membuat kerja pendawaian elektrik dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan bergantung permintaan pelanggan dan kesihatannya.

“Tertuduh ada sakit gout, migrain yang serius dan gastrik yang mana dia mengambil ubat-ubatan secara berkala,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong memohon hukuman setimpal bukan sahaja untuk kepentingan awam, tetapi sebagai bukti mahkamah mengecam perbuatan rasuah.

“Sebagai pegawai kanan persekutuan, tertuduh perlu memastikan perundangan dilaksanakan dan keselamatan perairan terpelihara, tetapi dia bersetuju menerima RM10,000 daripada ejen kapal yang jelas bertentangan dengan tanggungjawabnya serta mencemarkan imej Maritim Malaysia,” katanya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Mohd Fazaly Ali kemudian memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu memandangkan pihaknya akan menfailkan rayuan, hari ini, bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan permohonan penangguhan itu.

Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal di sini, pukul 10 malam, 2 Oktober 2020.

Mohd Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September 2020.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Disember 2024, Ahmad Kamal Arifin memerintahkan tertuduh membela diri bagi pertuduhan dihadapinya itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Seramai 16 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan, manakala pihak pembelaan mengemukakan empat saksi ketika prosiding bela diri yang berjalan awal tahun ini.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast