PLUS Malaysia Bhd.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangka peningkatan trafik melebihi 2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak di rangkaian lebuh raya kendaliannya sepanjang Hari Raya Aidiladha.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya itu dinasihati agar merancang perjalanan pada 5, 6, 8 dan 9 Jun ini.

“Untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak, PLUS menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal.

“Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di antara 5 hingga 10 Jun 2025 sempena perayaan Aidiladha yang akan datang,” kata PLUS menerusi kenyataan.

 

Jelasnya, pengguna juga boleh menggunakan smart lane yang ditetapkan melalui paparan Lampu Hijau Berkelip dan papan tanda pemberitahuan yang dipasang bagi menunjukkan laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh
digunakan di lokasi-lokasi tertentu.

“PLUS juga menyarankan pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan semasa oleh petugas di lokasi dan memberi kerjasama sepenuhnya ketika Smart Lane diaktifkan.

“Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang. Ketika Smart Lane diaktifkan, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memandu dengan had laju yang disarankan iaitu sekitar 60 km/j,” ujarnya.

PLUS turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya tidak menggunakan lorong kecemasan di lokasi yang tidak mempunyai laluan Smart Lane bagi mengelak berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Dalam masa yang sama tambahnya, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di lebuhraya PLUS bermula 5 hingga 9 Jun ini kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast